THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Tuesday, January 13, 2009

KANAK-KANAK DAN HOBI


Memang sesuatu yang amat malang apabila kanak-kanak tidak mempunyai keinginan atau hobi. Situasi ini amat berbeza jika dibandingkan dengan ibu bapa kita ketika di usia begitu. Hal ini kerana, waktu itu televisyen atau komputer belum begitu berleluasa digunakan. Majoriti kanak-kanak pada masa itu mempunyai hobinya tersendiri seperti bermain anak patung, mengumpul kad, bermain basikal dan lain-lain lagi.

Mereka bukan bermain kosong tetapi aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak ini menjadikan mereka berdikari dan kreatif. Sebagai contohnya, jika mereka bermain basikal, mereka akan berusaha memperbaikinya sendiri jika basikal itu rosak atau rantai basikal tersebut tercabut. Begitu juga jika bermain anak patung, mereka akan berusaha untuk menjahit sendiri pakaian anak patung tersebut, menyediakan susu dan menukar lampin .

Mempunyai hobi merupakan sesuatu yang baik terutamanya bagi kanak-kanak. Disebabkan itu, dengan adanya hobi, ia merupakan suatu ekspresi seseorang daripada dirinya sendiri. Akhirnya kanak-kanak tersebut membentuk rasa percaya pada diri sendiri.

Dari sudut lain, hobi juga merupakan alat pembelajaran secara tidak langsung. Contohnya, kanak-kanak itu sangat suka mengkaji dan memerhatikan fenomena yang berlaku disekelilingnya seperti pertumbuhan biji benih atau proses bunga yang sedang berkembang. Daripada hobinya yang suka melakukan pemerhatian, kanak-kanak mungkin akan belajar sesuatu yang baru dan tidak mustahil ia akan memilih kerjaya yang berkaitan apabila dewasa kelak. Contohnya seperti SAINTIS, JURUTERA, JURUTERBANG.…siapa tahu?

Pendek kata hobi sangat penting untuk masa depan dan juga karier kanak-kanak di masa akan datang. Daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “ setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah suci, maka ibubapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi,” Berikut merupakan beberapa cara yang boleh diambil oleh ibu bapa serta guru prasekolah untuk mengembang dan memupuk hobi kanak-kanak:

  • Beri contoh yang baik
    Berdasarkan pengalaman, biasanya kanak-kanak cenderung mempunyai hobi kerana melihat kebiasaan yang dilakukan oleh individu yang terdekat dengannya seperti ibu bapa atau gurunya. Contohnya jika hobi ibu dan ayahnya membaca, kanak-kanak tersebut juga akan gemar membaca. “Bapa borek, anak rintik,” merupakan pepatah yang sesuai untuk menyatakan situasi ini.
  • Sediakan ruang
    Kanak-kanak memerlukan ruang untuk melaksanakan hobinya. Ibu bapa atau guru prasekolah perlu menyediakan ruang yang sesuai samada di rumah atau di prasekolah.
  • Ibu bapa dan guru sebagai penasihat
    Kanak-kanak tidak tahu samada hobinya menjurus kearah yang positif atau negatif. Oleh itu, menjadi tanggungjawab guru dan ibu bapa memantau dan memberikan nasihat serta cadangan tetapi bukan anda yang menentukannya.
  • Luangkan masa untuk membantu
    Sifat semulajadi kanak-kanak, mereka akan mudah bosan dan kecewa jika gagal untuk melaksanakan sesuatu kerja. Jadi, sebagai guru dan ibu bapa bantulah mereka. Keadaan ini akan membuatkan mereka merasa ada yang memberikan sokongan, perhatian dan tidak bersendirian. Perhatian yang anda berikan ini akan menguatkan lagi semangatnya untuk terus memberi fokus kepada hobinya.


0 comments: